Man ana??

My photo
Semaikan ISLAM di HATI, Tanamkan IMAN nan SUCI, Bajai Taqwa setia hari, Berbuahla BAHAGIA HAKIKI.

Monday, September 21, 2009

Amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya



Antara amalan yang menjadi amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya adalah seperti berikut:
  1. Menghadiri Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan mendengar khutbah. Al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam Nailul Awtar, Nabi SAW sentiasa mengerjakan solat sunat berkenaan dan tidak pernah meninggalkannya. Malah baginda telah memerintahkan umatnya untuk mengerjakannya, termasuk hamba dan wanita yang haid pun digalakkan untuk menyaksikan solat itu dikerjakan oleh umat Islam.

  2. Mandi sebelum solat Sunat Aidilfitri. Menurut Said bin al-Musayyib mengatakan, sunnah sebelum solat itu ia merangkumi tiga perkara iaitu mandi sebelum solat sunat Aidilfitri, makan sebelum pergi solat dan pergi dengan berjalan kaki. (Riwayat al-Firyabi dengan sanad yang sahih seperti yang dijelaskan dalam Irwaul Ghalil)

  3. Berhias diri dengan cara yang dibenarkan tanpa mendedahkan aurat dan memakai pakaian dari buatan yang diharamkan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathil Bari bahawa sahabat seperti Ibn Umar akan memakai pakaian yang paling baik pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Maka menjadi suatu yang dituntut agar umat Islam memakai pakaian yang elok pada kedua hari ini. Bagaimanapun hendaklah dijauhi pakaian-pakaian yang dibuat dari bahan yang haram seperti sutera kerana dalam sebuah hadis yang lain apabila Umar memberikan untuk nabi pakaian dari sutera untuk dipakai pada hari Raya, maka Nabi SAW dengan tegasnya bersabda: “Pakaian ini adalah pakaian untuk orang yang tidak berakhlak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

  4. Makan sedikit sebelum pergi ke tempat solat. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi SAW tidak akan berangkat ke tempat solat pada hari Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma terlebih dulu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ) l Memperbanyakkan takbir. Menurut sebuah riwayat dari Ibn Abi Syaibah dari Musannafnya Nabi SAW akan berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, dan baginda akan bertakbir hingga sampai ke tempat solat, malah akan sibuk bertakbir dengan nyaring hingga solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha itu. Baginda Cuma akan berhenti sejurus sebelum memulakan solat sunat berkenaan.

  5. Mengucapkan tahniah kepada setiap Muslim yang ditemui dengan ucapan: “TaqabbalalLahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amal salih yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Kata Ibn Hajar dalam kitabnya al-Mahamiliyyat dan Fathul Bari, ini adalah ucapan selamat yang paling sahih yang ditemui dalam riwayat-riwayat dari Nabi SAW.

Berkaitan dengan perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dengan memberikan wang pada hari Raya ia hanyalah suatu amalan tradisi yang harus dilakukan. Ini bergantung kepada niat seseorang, sama ada dia menghulurkan wang itu sebagai hadiah ataupun sedekah. Apa juga niat yang disematkan moga-moga ia termasuk dalam kebajikan yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).


Menurut Ibn Kathir dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir sebuah riwayat dari Muqatil bin Hayyan, ayat ini menjelaskan keutamaan infaq ataupun belanja, saluran manakah yang harus diutamakan. Ayat ini ditutup dengan ingatan bahawa segala kebaikan yang dikerjakan, pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya, meskipun kebaikan itu hanyalah sebesar zarah saja. Cuma penting bagi ibu bapa agar menjelaskan kepada generasi anak-anak kepentingan menjadi insan yang mulia yang menjauhi budaya meminta-minta. Mereka perlu diperjelaskan tentang ingatan Nabi SAW yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

0 comments:

GN..(";)

 

My Soul Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template